Isi Kandungan
PENGERTIAN ILMU TAMADUN
1.0 Pendahuluan
1.1 Erti Tamadun: Peristilahan.
1.2 Tanggapan Masyarakat Maju
1.3 Sifat-sifat Tamadun
1.4 Fenomena Tamadun Islam
1.5 Fenomena Tamadun Barat
1.6 Kebangkitan dan kejatuhan sesebuah tamadun
KONSEP TAMADUN
1.0 Pendahuluan
Perbincangan tamadun dan ketamadunan oleh para
sarjana tamadun banyak bertitik tolak daripada perbincangan istilah. Terdapat
beberapa istilah yang dikaitkan dengan tamadun. Antara istilah yang sering
digunakan ialah ‘civilization’ dalam bahasa Inggeris, tamadun dan peradaban
dalam bahasa Melayu, maddana, umran dan hadarah dalam bahasa Arab. Setiap
istilah ini mempunyai maksud dan tafsirannya tersendiri. Peristilahan ini
memberi kesan kepada definisi tamadun. Selain ini, definisi tamadun juga
berbeza antara seorang sarjana dengan sarjana yang lain kerana mereka memberi
tafsiran tamadun berdasarkan disiplin ilmu masing-masing. Ini menghasilkan
definisi tamadun yang pelbagai berdasarkan dimensi yang berbeza. Bagi ahli
antropologi, tamadun dikaitkan dengan kebudayaan. Ahli arkeologi pula
menegaskan, tamadun dihubungkan dengan peninggalan bahan-bahan bukti (artifak)
yang boleh digunakan oleh sejarawan dalam menyusun kisah sejarah masyarakat
lampau.
Bagi para sarjana Muslim Islam, tamadun bermula
dengan pengutusan para nabi dan rasul. Pembentukan masyarakat bertamadun
menurut acuan Pencipta manusia adalah tujuan utama perutusan mereka. Para nabi
dan rasul diberi amanat untuk meluruskan jalan kehidupan manusia dan menjadikan
manusia umat yang bertamadun. Masyarakat yang bertamadun adalah masyarakat yang
memiliki seluruh tingkat kemajuan kehidupan yang meliputi aspek spiritual dan
material. Islam telah membekalkan asas-asas yang kukuh dan sumber yang mantap
untuk manusia membina tamadun.
Menurut Islam, tamadun sesebuah bangsa itu akan
terbina apabila wujudnya nilai-nilai baik dan mulia dalam sesebuah masyarakat.
Seandainya sesebuah masyarakat mengabaikan nilai-nilai baik atau menyalahi
matlamat utama pembinaan tamadun, maka masyarakat tersebut akan mengalami zaman
keruntuhan.
1.1 Peristilahan Tamadun
Peristilahan tamadun yang sering memenuhi diskusi
para sarjana ketamadunan terdiri daripada istilah-istilah berikut:
-‘Umran
-Hadharah
-Madaniyah
-Tamadun
-Civilization
-Peradaban
1.1.1 Istilah Umran dan Hadarah
Istilah umran dan hadarah diperkenalkan oleh Ibn
Khaldun (14M) dalam karya beliau yang terkenal berjudul Muqaddimah. Beliau
menggunakan dua istilah ini untuk menggambarkan masyarakat yang bertamadun.
Istilah umran digunakan untuk menerangkan sifat-sifat fizikal tamadun; iaitu
kawasan tanah yang didiami secara tetap dan aspek-aspek pembangunan yang wujud
di satu-satu kawasan. Manakala hadarah pula merujuk kepada kehidupan yang
menetap (M.A.J. Beg, 1982a, , 1982b). Oleh itu, istilah umran digunakan untuk
maksud pembangunan dan kuantiti penduduk sebagai hasil daripada kewujudan
tamadun. Ini bermakna apabila organisasi sosial terbentuk maka bilangan
penduduk bertambah besar. Sehubungan itu, tamadun akan terhasil.
Ibn Khaldun juga menentukan beberapa kriteria utama
masyarakat yang bertamadun. Antaranya seperti berikut:
-Aspek keagamaan
-Organisasi sosial
-Sistem perhubungan
-Sistem perundangan
-Bandar
-Aspek kesenian – senibina, seni khat dll.
Ibn Khaldun tidak meninggalkan peranan agama dalam
pembentukan masyarakat bertamadun. Malah bagi beliau, agama memainkan peranan
penting. Demikian juga peranan penting yang dimainkan oleh sistem perundangan
kerana sistem ini mampu menghasilkan keadilan. Nilai keadilan amat besar
pengaruhnya dalam menentukan jatuh bangun sesebuah tamadun. Bandar juga
merupakan salah satu asas yang penting dalam pembinaan masyarakat yang
bertamadun kerana kota atau bandar merupakan pusat pemerintahan dan kekuasaan.
Oleh itu, pembangunan bandar mestilah menggunakan perancangan yang baik dan
rapi. Antara faktor penting yang mesti diambilkira dalam perancangan sesebuah
bandar adalah seperti berikut:
-Udara yang bersih
-Kemudahan asas yang lengkap seperti terusan
sebagai jalan perhubungan
-Sumber makanan asasi
-Berhampiran dengan sumber binaan
-Kawasan penternakan (M.A.J. Beg, 1982a; 1995)
.
1.1.2 Istilah Madaniyah
Istilah madaniyah diperkenalkan oleh Muhammad Farid
Wajdi (19M) dan Syeikh Muhammad Abduh (20M) (M.A.J. Beg, 1982b). Istilah ini
juga merujuk kepada makna tamadun. Perkataan madaniyah diambil daripada
perkataan madinah yang bermaksud bandar, kota atau city. Kota merupakan pusat
peradaban atau tamadun. Ini jelas menunjukkan kaitan yang rapat antara
keempat-empat perkataan ini. Keempat-empat perkataan ini juga sama dengan
maksud perkataan civitas dalam bahasa Latin. Oleh itu, civitas dan madinah
menjadi pusat dan lambang kemunculan tamadun.
1.1.3 Istilah Tamaddun
Istilah tamaddun yang mempunyai maksud yang sama
dengan civilization telah diperkenalkan oleh Jurji Zaydan, seorang penulis Arab
(M.A.J. Beg, 1982b).
1.1.4 Istilah Civilization
Dalam bahasa Inggeris, istilah yang digunapakai
untuk menggambarkan masyarakat yang bertamadun ialah civilization. Istilah ini
diambil daripada perkataan Latin civitas yang bermaksud kota, di mana kota
merupakan salah satu faktor penting kewujudan sesebuah tamadun (Beg, 1982).
Civilization juga dihubungkan dengan perkataan civil yang bermaksud keadaan
masyarakat yang mempunyai tahap kehidupan yang tinggi (Azhar Hj Mad Aros dll,
2003).
Para sarjana barat pula telah memberi beberapa
gambaran berikut bagi masyarakat yang bertamadun.
i. Collingwood:
Masyarakat yang bertamadun ialah masyarakat yang
mencapai tahap kehidupan civil iaitu kehidupan sopan. Masyarakat civil ini akan
melahirkan masyarakat bandar iaitu masyarakat yang mempunyai kehalusan budi.
ii. Samuel Johnson:
Masyarakat yang bertamadun ialah suatu keadaan yang
bertentangan dengan kehidupan biadab (barbaric). Masyarakat ini telah mencapai
tahap kesopanan yang tinggi.
iii. Gordon Childe (sejarawan):
Pencapaian material adalah lambang ketamadunan.
Civilization mempunyai persamaan dengan revolusi perbandaran. Pengukuran
tamadun adalah berdasarkan kepada kewujudan bandar. Beliau menyamakan erti
tamadun dengan revolusi bandar kerana apabila berlakunya revolusi bandar di
satu-satu kawasan, maka akan lahirlah satu tamadun baru di kawasan berkenaan.
iv. Edward L. Farmer:
Masyarakat yang bertamadun ialah masyarakat yang
memiliki unit kebudayaan yang besar yang mengandungi norma-norma sosial,
tradisi dan institusi yang dikongsi bersama dan diwarisi dari generasi ke
generasi. Beliau juga memasukkan beberapa ciri berikut bagi menggambarkan
masyarakat yang bertamadun iaitu:
-Penempatan kekal
-Revolusi pertanian
-Stratifikasi sosial
-Kewujudan agama
-Urbanisasi
-Pengkhususan kerja
-Sistem tulisan.
v. Darcy Riberio (Ahli antropologi):
Proses kehidupan bertamadun melibatkan aspek-aspek
berikut:
-Penyebaran teknologi pertanian – berakhirnya corak
kehidupan nomad.
-Wujud aktiviti perternakan dan pengkhususan kerja
berasaskan kelompok kemahiran.
-Revolusi bandar – pertumbuhan bandar dan negara,
wujud stratifikasi sosial.
-Penggunaan peralatan tembaga dan gangsa.
-Wujudnya sistem tulisan, angka, kalendar dan
lain-lain.
-Revolusi pengairan
-Revolusi penghasilan inovasi teknologi berasaskan
besi
-Revolusi penternakan
-Revolusi perdagangan
-Revolusi teknologi
-Revolusi industri
vi. E.B. Taylor (ahli antropologi):
Tamadun merangkumi keseluruhan pencapaian manusia
termasuk pengetahuan, kepercayaan, seni, moral, undang-undang, adat dan
keupayaan serta tabiat-tabiat lain yang diusahakan oleh manusia sebagai anggota
masyarakat.
vii. Albert Schwetzer (ahli falsafah Jerman):
Tamadun merupakan keseluruhan kemajuan hasil
daripada tindakan dan pemikiran manusia yang membawa kepada penyempurnaan
kerohanian seseorang individu (Azhar Hj Mad Aros dll, 2003; M.A.J. Beg, 1982b).
1.1.5 Istilah Peradaban
Peradaban merupakan istilah dalam bahasa Melayu
yang sering dikaitkan dengan masyarakat yang bertamadun. Menurut Kamus Dewan,
masyarakat yang beradab atau bertamadun ialah masyarakat yang memiliki tingkat
kemajuan dalam kehidupan jasmani dan rohani. Tamadun dinyatakan sebagai satu keadaan
masyarakat yang dicirikan atau didasarkan pada taraf kemajuan kebendaan serta
perkembangan pemikiran sama ada aspek sosial, budaya, politik dan lain-lain
yang tinggi (Kamus Dewan, 2002).
Pada dasarnya, istilah-istilah di atas merujuk
kepada satu keadaan yang memiliki dua aspek pencapaian iaitu material dan
spiritual dalam kehidupan. Kedua-dua pencapaian ini membentuk pencapaian asas
dalam kehidupan masyarakat bertamadun. Antara pencapaian tersebut ialah seperti
berikut:
-Kehidupan beragama
-> Pembentukan kota sebagai pusat pemerintahan
atau pembinaan tamadun.
-> Kehidupan menetap.
-> Kemunculan dan perkembangan ilmu dan
kemahiran.
-> Tahap kehidupan yang tinggi iaitu kehidupan
hadarah bukannya badawah.
-> Kemajuan rohani dan jasmani.
1.2 Masyarakat Maju
Pada masa kini, penggunaan istilah masyarakat maju
lebih dominan daripada istilah masyarakat bertamadun. Masyarakat maju diertikan
sebagai masyarakat yang mempunyai tahap kemajuan sains dan teknologi serta
ekonomi yang berasaskan perindustrian. Justeru itu, muncul beberapa istilah
khusus untuk menggambarkan tahap kemajuan sesebuah negara yang diukur dari
aspek pembangunan. Pencapaian ini dibahagikan kepada empat kategori iaitu:
->>Negara-negara maju (yang telah membangun).
Antara negara-negara yang termasuk dalam kategori ini ialah:
Amerika Syarikat
Britain
Perancis
Kanada
Australia
New Zealand
Jepun
->>Negara-negara yang mempunyai ekonomi yang
stabil dan pembangunan yang pesat dalam jangka masa yang agak lama seperti:
-> Republik Rakyat China
-> Mexico
-> India
-> Malaysia
-> Thailand.
->>Negara-negara yang mempunyai rekod
pembangunan yang kurang pesat, iaitu:
-> Benua Afrika
-> Amerika Tengah
-> Wilayah-wilayah Caribbean (kecuali Jamaica
dalam kategori kedua)
-> Arab
-> Asia Tenggara (kecuali Singapura – kategori
pertama, Filipina, Malaysia, Brunai dan Thailand – kategori kedua).
76% negara-negara dunia termasuk dalam kategori
ini. Oleh sebab itulah negara–negara ini disebut juga sebagai negara
‘Two-Thirds World’ kerana -> daripada negara-negara dunia termasuk dalam
kategori ini iaitu negara yang tidak membangun.(Wikipedia)
->>Negara-negara yang tidak membangun atau
negara yang sentiasa berhadapan dengan siri peperangan yang panjang atau
suasana politik yang tidak stabil. Negara-negara ini di sebut juga sebagai ‘failed
states’. Antara negara-negara tersebut ialah :
-> Haiti
-> Somalia
-> Sudan
-> Burma
-> Korae Utara (Wikipedia).
Selain itu, pembahagian negara juga dibuat
berdasarkan pengkelasan dunia iaitu:
-> Negara-negara Dunia Pertama
-> Negara-negara Dunia Kedua
-> Negara-negara Dunia Ketiga
-> Negara-negara Dunia Keempat
-> Negara-negara Dunia Kelima
Negara-negara Dunia Pertama disebut juga negara
yang telah membangun (Developed countries) seperti negara-negara Liberal Barat.
Negara-negara Dunia Pertama ialah negara yang mempunya pencapaian yang tinggi
dalam semua aspek, seperti berikut:
-> Kemudahan infrastruktur yang moden (fizikal
dan institusi)
-> Tahap kehidupan
-> Most Economically Developed Countries (MEDCs)
-> Negara-negara perindustrian
-> Pendapatan per kapita
-> Human Development Index (HDI)
-> Gross Domestic Product (GDP) per kapita
Negara-negara Dunia Kedua ialah negara-negara
Kesatuan Soviet (USSR). Walau bagaimanapun istilah ini sudah tidak digunakan
lagi sejak tahun 1991 apabila USSR runtuh dan negara-negara dibawah kesatuannya
berjaya mendapat kuasa otonomi masing-masing. (Wikipedia).
Istilah Negara-negara Dunia Ketiga mula digunakan
oleh seorang ahli demografi bernama Alfred Sauvy yang merujuk kepada Third
Estate. Kebanyakan negara yang termasuk dalam kategori ini ialah negara-negara
yang mendapat kemerdekaan daripada penjajah. Negara-negara ini disebut juga
sebagai negara yang sedang membangun (Developing Countries), The South.
Negara-negara yang termasuk dalam kategori ini ialah negara yang mempunyai
kriteria berikut:
-> Less Developed Countries (LDCs)
-> Least Economically Developed Countries (LEDCs)
-> Undeveloped Nations
-> Non-Industrialized Nations Or Not
Technologically Advanced As OECD Countries (Organisation for Economic
Co-operation and Development)
-> Tahap kehidupan yang rendah
-> Indeks Pembangunan Manusia (HDI) yang
sederhana ke rendah
Negara-negara yang sedang membangun meliputi 8 buah
negara Islam yang disebut Developing 8 (D-8 atau Developing Eight) iaitu:
i. Iran
ii. Indonesia
iii. Malaysia
iv. Pakistan
v. Bangladesh
vi. Turki
vii. Mesir
viii. Nigeria
Antara objektif pengenalan D-8 ialah untuk
meletakkan negara-negara dalam ekonomi dunia, membuka ruang untuk hubungan
dagang, menaikkan taraf hidup dan memberi peluang untuk membuat keputusan di
peringkat antarabangsa. Kerjasama utama termasuklah dalam pengurusan kewangan,
perbankan, pembangunan luarbandar, sains dan teknologi, pembangunan manusia,
pertanian, sumber tenaga, persekitaran dan kesihatan. (Wikipedia)
Ukuran klasifikasi negara-negara ini kepada
beberapa blok adalah berdasarkan beberapa pencapaian berikut:
-> Tahap pembangunan ekonomi yang rendah.
-> Tahap hidup yang rendah – Dari segi
pencapaian pendidikan, penjagaan kesihatan, dll.
-> Negara yang tidak berasaskan perindustrian
tetapi berasaskan pertanian dan penternakan.
-> Perkembangan sektor perindustrian yang tidak
setara dengan perkembangan penduduk.
-> Indeks Pembangunan Manusia yang rendah (Human
Development Index – HDI) - Pendapatan per kapita yang rendah
-> Pertumbuhan penduduk yang tinggi (Wikipedia).
Walaupun terdapat beberapa istilah yang digunapakai,
tetapi istilah yang signifikan dari segi penggunaannya ialah “negara membangun”
dan “negara yang sedang membangun” atau Third World. Dominasi istilah “negara
atau masyarakat maju” berbanding istilah “tamadun” amat berkait rapat dengan
kejayaan barat mendominasi kemajuan dunia keseluruhannya dari pelbagai aspek.
Hal ini bertambah kukuh dengan adanya teknologi canggih ciptaan barat seperti
teknologi komputer yang menjadi tunggak asas pelebaran teknologi maklumat ke
seluruh dunia. Selain itu, matlamat hidup hari ini yang bertumpu pada aspek
ekonomi dan keselesan hidup mengukuhkan penggunaan istilah masyarakat maju.
Semua negara dan masyarakat di dunia enggan di kategorikan sebagai sebagai
masyarakat mundur, sebaliknya mereka lebih bersedia diberi sandaran sebagai
masyarakat maju apatah lagi masyarakat moden.
1.3 CIRI-CIRI TAMADUN
Masyarakat yang bertamadun memiliki beberapa ciri
yang menggambarkan masyarakat maju. Antaranya ialah penempatan kekal, revolusi
pertanian, stratifikasi sosial, kehidupan beragama, urbanisasi, sistem tulisan,
organisasi politik dan pengkhususan kerja.
1.3.1 Penempatan kekal
Penempatan kekal merupakan salah satu perkara asas
dalam mewujudkan masyarakat bertamadun. Penempatan kekal memungkinkan pembinaan
kota dan bandar. Bermula dari kota dan bandar muncul pula unsur-unsur
pembentukan tamadun yang lain. Penempatan kekal akan dipilih berdasarkan lokasi
yang mempunyai ciri-ciri berikut:
-Kemudahan perhubungan seperti lembah sungai dan
pesisir pantai atau telok.
-Tanah yang subur bagi mewujudkan revolusi
pertanian.
-Kawasan yang selamat untuk penternakan.
Contoh penempatan kekal pada sejarah awal
masyarakat bertamadun ialah Tamadun Mesir yang bertempat di Lembah Sungai Nil,
Tamadun Sumeria di Lembah Sungai Tigris dan Euphrates, Tamadun India di Lembah
Indus, Tamadun Cina di Lembah Sungai Kuning dan Tamadun Melayu di pesisir Selat
Melaka dan Selat Sunda.
1.3.2 Revolusi Pertanian
Revolusi pertanian merubah pertanian sebagai satu
sumber sara hidup kepada pertanian bentuk komersil. Revolusi ini merupakan
salah satu bentuk peningkatan dalam tamadun. Revolusi ini juga mampu
meningkatkan taraf kehidupan melalui kegiatan berikut:
-Pengumpulan kekayaan daripada hasil perkembangan
industri pertanian dan penternakan.
-Revolusi pertanian adalah pra syarat penting
mewujudkan peluang pekerjaan bagi menambah produktiviti dan melahirkan revolusi
perdagangan.
1.3.3 Stratifikasi Sosial
Stratifikasi sosial turut menjadi aspek penting
dalam kehidupan masyarakat bertamadun. Kewujudan stratifikasi sosial dalam
masyarakat bertamadun berdasarkan pembahagian tugas dan tanggungjawab secara
tidak langsung. Sebagai contohnya, pengkelasan masyarakat bermula dengan
pemilikan tanah pertanian yang mewujudkan penempatan kekal dan seterusnya dapat
mengumpul kekayaan. Pemilikan tanah melahirkan golongan pemilik atau tuan tanah
yang kuat berusaha dan berpengaruh. Beberapa tuan tanah telah membentuk satu
kelompok golongan atasan, sementara buruh sebagai golongan pekerja atau hamba
yang membentuk golongan bawahan. Pengkelasan masyarakat seperti ini telah
melahirkan satu sistem kelas masyarakat yang di kenali dengan feudalisme. Dalam
sistem ini, golongan atasan merupakan golongan minoriti, sementara golongan
bawahan merupakan golongan majoriti.
Dalam masyarakat perindustrian hal ini tetap
berlaku. Dalam lembaran sejarah Barat, tuan-tuan kilang merupakan golongan
atasan yang mempergunakan sepenuhnya buruh atau pekerja kilang. Aktiviti
tuan-tuan kilang bertambah rancak apabila wujudnya sistem kapitalisma di Barat
yang memberi hak kebebesan individu. Stratifikasi sosial baru yang muncul di
Barat telah memberi satu pergolakan dalam masyarakat yang mendorong kepada
pemikiran baru Karl Marx yang berusaha untuk mencorakkan satu stratifikasi
sosial yang tidak memberi kebebesan hak individu. Pemikiran Karl Marx dikenali
dengan komunisma. Stratifikasi sosial baru yang dianjurkan oleh Karl Marx
memberi kuasa kepada negara, bukan individu . Semua rakyat adalah sama. Rakyat
berkerja untuk negara, bukan untuk tuan-tuan tanah atau tuan-tuan kilang.
Stratifikasi sosial dalam bentuk ini dapat mengatasi pergolakan masyarakat yang
dicetuskan oleh tuan-tuan kilang. Namun dalam pengalaman Soviet Union,
stratifikasi sosial bentuk ini masih tetap melahirkan pergolakan yang lebih
dahsyat. Kini Soviet Union bukan lagi satu kesatuan negara, sebaliknya
negara-negara kecil yang telah mempunyai kuasa otonomi masing-masing. Dengan
kata lain, stratifikasi soisal komunisma yang dianjurkan oleh Karl Marx menemui
jalan buntu. Perkembangan ekonomi selanjutnya yang banyak berkaitrapat dengan
teori kapitalisma melahirkan golongan pedagang yang mempengaruhi perubahan
sosial masyarakat kerana mereka merupakan golongan yang boleh mencorak
masyararakat ke arah masyarakat maju.
Walau apapun bentuk kelas dalam masyarakat,
stratifikasi sosial pasti wujud, hanya bentuk dan hak dalam masyarakat yang
berbeza.
1.3.4 Kehidupan beragama
Kehidupan beragama merupakan salah satu ciri
masyarakat bertamadun. Dalam tamadun Islam, Ibn Khaldun menetapkan aspek ini
sebagai perkara asas. Manakala sarjana Barat yang turut memasukkan aspek agama
sebagai salah satu ciri masyarakat bertamadun ialah Edward L. Farmer manakala
R.A. Buchanan pula menyebut wujudnya upacara agama yang kompleks adalah
ciri-ciri kerahiban (Azhar Hj Mad Aros dll, 2003). Hal ini bukan sahaja wujud
semasa lahirnya Tamadun Islam yang menjadikan agama sebagai teras masyarakat
bertamadun, namun tamadun silam juga banyak membuktikan aspek agama wujud dalam
pembinaan tamadun. Ini dapat dilihat dengan adanya perkara berikut:
-Kepercayaan
-Pemikiran tentang kuasa ghaib yang mengawal
kehidupan
-Peninggalan bangunan keagamaan
1.3.5 Urbanisasi
Kewujudan bandar atau kota yang menjadi pusat
tamadun mencetuskan proses pembandaran atau urbanisasi. Oleh itu, urbanisasi
merupakan salah satu ciri tamadun kerana bandar bertindak sebagai pusat
pertemuan dan kegiatan masyarakat. Revolusi bandar merupakan salah satu proses
yang amat penting dalam meningkatkan taraf kehidupan masyarakat bertamadun.
Kelahiran kota dan negara adalah hasil daripada revolusi bandar. Dalam tamadun
silam, muncul juga kerajaan yang berbentuk “negara kota” atau city-state.
Kemunculan kota telah mewujudkan beberapa aspek dan institusi penting dalam
pembinaan tamadun seperti berikut:
-Penempatan kekal
-Pembentukan pusat pemerintahan iaitu kota,
kerajaan dan pertumbuhan tamadun.
-Institusi keagamaan
-Institusi pendidikan
-Institusi pemerintahan
-Institusi ekonomi.
1.3.6 Pengkhususan kerja dan inovasi teknologi
Peningkatan dalam kehidupan memberi kesan kepada
peningkatan keperluan untuk memenuhi kehidupan. Justeru itu, lahirlah inovasi
dan daya kreativiti serta pengkhususan kerja. Maka dengan ini akan wujudlah
pelbagai aktiviti berdasarkan bidang khusus. Antara bidang yang muncul pada
tahap awal masyarakat bertamadun adalah seperti berikut:
-Perekonomian
-Pertukangan
-Seni bina
-Teknologi logam
Perkembangan ini melahirkan tenaga mahir dalam
pelbagai bidang. Antara bidang yang muncul pada tahap awal adalah seperti
berikut:
-Perkapalan
-Pembinaan pelabuhan dagang
-Penyediaan mata wang
-Penciptaan alat pengangkutan
Selain mencetuskan kemahiran teknologi, muncul juga
perkembangan yang meningkatkan daya kreativiti dan karya-karya estetika seperti
berikut:
-Seni lukis
-Seni ukiran
-Seni hiasan
-Seni tenunan dan anyaman
-Seni seramik
1.3.7 Sistem Tulisan
Tulisan merupakan salah satu bukti penting
kewujudan sesebuah tamadun yang dapat dipelajari dan disaksikan oleh genarasi
kemudian. Sistem tulisan dapat dilihat pada tugu-tugu peringatan, bangunan
keagamaan, makam, lembaran kertas, wang syiling dan lain-lain. Sistem tulisan
lahir dan berkembang berdasarkan perkembangan sesebuah tamadun. Pada peringkat
awal, sistem tulisan adalah dalam bentuk simbol, dan seterusnya berkembang
membentuk sistem nombor dan tulisan.
1.3.8 Organisasi Politik Dan Pemerintahan
Kewujudan sistem politik dan pemerintahan merupakan
ciri yang perlu ada dalam sesebuah masyarakat yang bertamadun. Kesatuan politik
dan budaya mewujudkan keutuhan tamadun. Antara bentuk pemerintahan yang wujud
dalam tamadun ialah:
-Homogeneous (serba sama). Kuasa pemerintah dalam
bentuk ini tidak dipersoal oleh rakyat. Contohnya, pemerintahan Firaun di Mesir
dan Kerajaan Byzantine.
-Heterogeneous (pelbagai bangsa), iaitu tamadun
yang mempunyai banyak pemerintahan seperti tamadun Mesopotamia dan Greek yang
mempunyai beberapa buah pemerintahan dan negara-kota (city-states). Begitu juga
Tamadun Islam yang mempunyai pelbagai bahasa, bangsa dan budaya.
-Monarchy atau beraja. Raja menjadi lambang
ketamadunan kerana raja dikaitkan pada sesuatu kekuatan seperti pada Tamadun
Mesir, raja berkonsep Tuhan dan Tamadun Melayu pula, raja mempunyai konsep
daulat.
-Oligarchy atau demokrasi. Demokrasi memberi ruang
kepada sekumpulan yang memegang kuasa seperti sami dan cerdik pandai agama
(Azhar Hj Mad Aros dll, 2003).
1.4 KONSEP TAMADUN ISLAM
Konsep Tamadun Islam menyentuh beberapa aspek yang
menetapkan world view Tamadun Islam. Penetapan aspek ini menjadi pembeza wajah
antara Tamadun Islam dengan tamadun-tamadun lain. Aspek-aspek tersebut adalah
seperti berikut:
1.4.1 Definisi Tamadun Islam:
Berikut dikemukakan pelbagai definisi tamadun yang
diutarakan oleh para sarjana Tamadun Islam.
i. Ibn Khaldun
Beliau menjelaskan Tamadun Islam sebagai pencapaian
manusia yang sudah melebihi keperluan asas kehidupan sehingga dapat membuka
jalan ke arah pemikiran dan penghasilan daya cipta yang lebih halus dan
mempunyai nilai estetika yang tinggi.
ii. M. A. J. Beg
Beliau membuat kesimpulan bahawa tamadun merupakan
pencapaian manusia dalam bentuk kata-kata, skrip, kesenian, senibina, agama,
undang-undang dan politik.
iii. Prof. Dr. Ahmad Shalaby
Tamadun Islam terbahagi kepada dua. Pertama,
peradaban Islam tulen yang menjadikan Islam sebagai sumber. Kedua ialah
peradaban yang dibangunkan oleh kaum muslimin dalam pelbagai bidang ilmu seperti
matematik, perubatan, astrologi, muzik dan lain-lain. (1975:26)
vi. Professor Syed Naquib Al-Attas
Beliau telah mentafsirkan Tamadun Islam sebagai
satu keadaan kehidupan masyarakat yang telah mencapai tahap kehalusan
tatasusila dengan mempunyai kebudayaan yang luhur bagi seluruh masyarakat.
v. Syed Qutb
Tamadun Islam ialah segala bentuk kemajuan yang
dihasilkan oleh sekumpulan masyarakat dalam seluruh dimensi kehidupan seperti
dalam sistem sosial, pemerintahan, politik, ekonomi dan kebudayaan yang berteraskan
syariat Allah, serta bercirikan nilai-nilai moral Islam (1989:112). Menurut
beliau, Tamadun Islam tidak boleh lari dari sibghatu’Llah atau acuan Allah
(Ibid: 129). Beliau mengambil contoh pencapaian tamadun yang telah di asaskan
oleh Rasulullah SAW. Tamadun Islam telah mencapai kemuncak keagungan dan terus
berkembangan pada zaman kemudiannya.
vi. Said Hawa
Melalui karyanya al-Islam beliau menyatakan bahawa
tamadun secara umum terbahagi kepada dua kategori sahaja iaitu Tamadun Islam
dan Tamadun Jahiliyah. Tamadun Islam ialah segala aspek kemajuan yang tegak di
atas kebudayaan Islam serta hasilnya juga relevan dengan kebudayaan Islam.
Manakala Tamadun jahiliyah pula ialah segala kemajuan yang dijelmakan dalam
bentuk kebendaan tanpa mengambil kira aspek kerohanian dan moral.
vii. Lain-lain.
Ahmad Fauzi Haji Morad, Ahmad Tarmizi Talib, Aimini
Amir Abdullah dan Zarina Mohammad menyatakan bahawa tamadun merangkumi
kebudayaan, peradaban, kemajuan (kebendaan dan kerohanian) dan sopan santun.
Manusia tidak akan dapat mencari satu etika tamadun jika tidak mempunyai
masyarakat yang bermoral. Kemajuan Tamadun Islam tidak terbatas hanya kepada
kemajuan kebudayaan semata-mata. Malah ia merupakan kemajuan yang berjalan
serentak dengan kerohanian. Seterusnya, mereka menyatakan bahawa Tamadun Islam
ialah meletakkan al-Din sebagai pembentukan tamadun manusia.
Ringkasnya, Tamadun Islam meliputi seluruh
pencapaian dalam kehidupan manusia. Pencapaian-pencapaian dan kemajuan-kemajuan
yang dibangunkan oleh manusia berjalan selaras dengan konsep Islam sebagai al-Din.
1.4.2 Aspek-aspek Penting Tamadun Islam
Terdapat tiga aspek penting dalam Tamadun Islam,
iaitu:
i) Aspek manusia.
Aspek manusia berkisar dalam tiga persoalan pokok,
iaitu dari mana kita berasal, kenapa kita diwujudkan dan ke mana kita akan
pergi. Jawapan kepada persoalan-persoalan ini akan menentukan hala tuju dan
pembentukan Tamadun Islam.
ii) Aspek masyarakat.
Aspek masyarakat melibatkan perkara-perkara
berikut:-
(a) Hak untuk hidup.
(b) Hak untuk bebas.
(c) Maruah dan hak peribadi.
(d) Hak berfikir, beragama dan mengeluarkan
pendapat.
(e) Keadilan dan kehakiman.
iii) Aspek sejarah.
Aspek sejarah dalam Tamadun Islam merupakan satu
mekanisma panduan, teladan dan sempadan. Pengajaran dari fakta sejarah akan
mendorongkan seseorang melakukan atau meninggalkan suatu perbuatan. Kepentingan
aspek ini terbukti pada sebahagian kandungan al-Qur’an yang memaparkan sejarah
umat yang silam dan juga sejarah para nabi (anbiya’). Sebagai contohnya, Surah
Maryam menceritakan kisah Maryam yang merupakan ibu kepada Nabi Isa AS.
Demikian juga surah Ali Imran menceritakan kisah keluarga Imran yang juga
salasilah keluarga Nabi Isa AS. Surah Ibrahim memaparkan kisah Nabi Ibrahim AS
termasuk kisahnya dibakar oleh Namrud, namun tidak terbakar. Kisah Nabi Musa
dengan Firaun, Nabi Lut dengan umatnya, Nabi Nuh dilanda banjir besar, Nabi
Ayob dtimpa penyakit, Nabi Syuib dengan tanamannya, Nabi Harun menjadi teman
Nabi Musa, Nabi Khaidir dan nabi-nabi yang lain termasuk yang tidak dinyatakan
namanya dengan jelas. Semua kisah sejarah ini bukan sekadar dipaparkan untuk
memenuhkan al-Qur’an tetapi untuk dijadikan iktibar dan teladan perjalanan
manusia hari ini dan akan datang.
Aspek-aspek manusia, masyarakat dan sejarah akan
melahirkan tamadun agung, iaitu tamadun yang menepati matlamat penciptaan
manusia, menghormati hak-hak asasi manusia dan menjadikan peristiwa silam
sebagai dorongan ke arah penciptaan tamadun yang lebih dinamik.
1.4.3 Asas Tamadun Islam
Tamadun Islam terikat dengan beberapa perkara
penting yang menjadi asas pembinaan tamadun. Antaranya ialah akidah, syariah,
akhlak dan ilmu. Empat asas ini dikuti dengan asas keadilan, semangat
kejiranan, toleransi dan kebebasan beragama sebagai pra-syarat Tamadun Islam.
(Mahyudin Hj.Yahya :1998:15). Asas-asas ini menjadikan Tamadun Islam tetap
unggul walaupun tidak terbina di atas tapak sejarah awal Islam iaitu di
Semenajung Tanah Arab, khususnya di bumi Mekah al-Mukarramah dan Madinah
al-Munawwarah.
->>Akidah
Akidah merupakan satu konsep kepercayaan yang akan
membentuk iman kepada Allah SWT, para rasul, para Malaikat, Kitab-kitab, Hari
Akhirat dan Qada’ Qadar Allah. Keyakinan kepada konsep tauhid kepada Allah
memberi kesan dalam kehidupan manusia. Tauhid merupakan falsafah kehidupan
dalam Islam dan menjadi asas kepada kelahiran tamadun. Keimanan kepada Allah
SWT akan mengubah dan membentuk pandangan manusia terhadap Tuhan, sesama
manusia dan alam semesta.
Zaman Nabi Muhammad SAW merupakan zaman
kegemilangan Tamadun Islam, sama ada dalam aspek politik, pentadbiran mahupun
ekonomi. Umat Islam telah berjaya membentuk sebuah kerajaan Islam yang kukuh di
Kota Madinah dengan berasaskan akidah. Akidah yang mantap telah membentuk
sistem nilai, iaitu suatu sistem yang mengawal sifat dan bentuk ketamadunan.
->>Syariah
Syariah merangkumi ibadah dan muamalah. Ibadah
ialah peraturan-peraturan untuk melakukan peribadatan dan ketaatan kepada Allah
SWT. Ia juga meliputi perilaku melaksanakan kebaikan kepada sesama manusia dan
alam. Muamalah pula ialah peraturan perhubungan sesama manusia yang meliputi
aspek akhlak, politik, ekonomi dan kemasyarakatan. Aspek syariah dalam Tamadun
Islam dilihat sebagai pemangkin kepada keutuhan dan kecemerlangan tamadun. Ia
juga menjadi pembeza antara Tamadun Islam dengan tamadun-tamadun lain.
Melaksanakan keadilan pula adalah prinsip penting dalam perlaksanaan syariat
Islam. Ia menjadi lambang kesucian agama Islam. Pelaksanaan keadilan merupakan
asas bagi setiap penyusunan masyarakat dan negara. Oleh itu, jika akidah boleh
diibaratkan sebagai sumber inspirasi dalam menggerakkan tamadun, syariah pula
adalah sebagai penunjuk jalan, penentu kaedah dan perlaksanaan Tamadun Islam.
(Azhar, 2000: 129)
->>Akhlak
Akhlak merupakan mekanisma yang menggerakkan umat
Islam menjadi umat yang bertamadun tinggi. Tanpa akhlak, Tamadun Islam yang
dibina tidak mempunyai sebarang erti. Oleh itu, dalam ajaran Islam, akhlak
merupakan pelengkap kepada akidah dan syariah. Imam al-Ghazali menjelaskan
akhlak merupakan suatu kebiasaan yang terdapat dalam diri manusia. Seseorang
akan melakukan dengan mudah dan tidak perlu berfikir untuk menghasilkan
perbuatan dan tingkah laku. Sekiranya tingkah laku seseorang itu indah dan
terpuji ia dinamakan akhlak yang baik (akhlak mahmudah), tetapi jika perbuatan
atau tingkah laku itu keji ia dinamakan akhlak yang buruk (akhlak mazmumah).
(Aboebakar Atjeh, 1985:13)
Nilai akhlak sebagai satu unsur pembinaan tamadun
sudah ada dalam tamadun-tamadun silam seperti Tamadun Yunani atau lain-lain
tamadun. Walau bagaimanapun, nilai-nilai murni dalam nilai akhlak disempurnakan
oleh Nabi Muhamad SAW. Ini berdasarkan satu hadis Rasulullah SAW yang bermaksud
“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak”.
Nilai paling utama dalam kehidupan manusia ialah
nilai baik yang akan membentuk akhlak seseorang dan ia tidak ditentukan oleh
akal manusia, sebaliknya oleh wahyu Allah SWT dan sunnah Rasul-Nya. Nilai yang
diketengahkan oleh ajaran Islam terbukti lebih sesuai dengan fitrah manusia. Oleh
kerana itu, nilai dalam akhlak Islam mampu merentasi sempadan, masa dan
geografi. Akhlak Islam amat berperanan membantu keutuhan sesebuah tamadun dalam
rangka manusia melaksanakan amanah sebagai khalifah di dunia. Segala bentuk
perlakuan yang berasaskan ajaran Islam membawa penganutnya mengamalkan akhlak
yang mulia.
->>Ilmu
Kelahiran Tamadun Islam juga berasaskan ilmu
pengetahuan yang disarankan oleh firman Allah SWT dalam surah al-‘Alaq (ayat
Iqra’). Ia merupakan wahyu pertama yang diturunkan kepada Rasulullah SAW.
Penekanan kepada ilmu pengetahuan yang bermula dari peringkat awal telah
membangkitkan kesedaran pentingnya pembinaan tamadun berasaskan pengetahuan.
Sejarah kegemilangan Tamadun Islam telah berjaya dicipta kerana penghayatan
ummah terhadap budaya ilmu dalam kehidupan seharian. Selain daripada kejayaan
melahirkan tenaga-tenaga mahir dan professional dalam pelbagai bidang,
masyarakat Islam juga mempunyai pegangan agama yang teguh, pemikiran yang
tinggi dan akhlak yang luhur.
Ilmu merupakan elemen penting yang menjadi
pemangkin pergerakan manusia. Penguasaan pelbagai ilmu pengetahuan menjadikan
masyarakat Islam mampu melakukan penelitian, pengkajian dan menghasilkan
penemuan baru atau teknologi. Antara contoh intelektual Islam yang menjadi pemangkin
budaya ilmu pengetahuan dalam masyarakat seperti Ibnu Sina, Ibnu Rushd, Ibnu
Maskawayh, Ibn Batutah, Ibnu Khaldun, al-Farabi, al-Kindi, al-Khawarizmi,
al-Ghazali, al-Biruni dan al-Battani. Selain itu, para ulama Islam turut
berkembang kerana pemilikan ilmu. Contohnya, Imam Shafie, Imam Maliki, Hanafi
dan Hambali. Mereka semua adalah intelektual Islam yang menjadikan al-Qur’an
dan al-Sunnah sebagai sumber utama ilmu mereka.
Pelbagai pencapaian yang berjaya dihasilkan
merupakan puncak kemampuan akal dan kejayaan manusia. Kejayaan ini menjadi
dasar untuk membentuk sesuatu tamadun bagi memenuhi keperluan kehidupan manusia
dan makhluk-makhluk lain. Oleh itu, dalam menangani era teknologi dan
globalisasi hari ini, umat Islam harus bersedia untuk memiliki segala kepakaran
yang diperlukan demi mempertingkatkan martabat umat Islam dan mengelak dari
bergantung dengan pihak lain. Umat Islam wajib berusaha memiliki pelbagai
kepakaran, sama ada kepakaran ilmu agama yang terus berkembang dan berubah,
mahupun kepakaran ilmu dunia yang berbentuk kemahiran dan daya cipta. Kepakaran
ilmu dunia akan menyebabkan umat Islam disanjung dan dijadikan rujukan,
sementara kepakaran ilmu agama akan menjadikan umat Islam umat yang teguh
dengan dasar agamanya yang menganjurkan keseimbangan antara kebahagiaan dunia
dan akhirat.
Oleh itu, dapat ditegaskan bahawa semua yang
terkandung dalam ajaran Islam menjadi asas pembinaan tamadun kerana peningkatan
dari aspek spiritual (ma’nawi) akan mendorong kebangkitan fizikal. Kebanyakan
tamadun dunia lain juga terbina dengan berasaskan kepercayaan agama. Keteguhan
kepada pelaksanan agama menjadi faktor kepada peningkatan dan kemusnahan
sesebuah tamadun. Sebaliknya, tamadun yang mula menyeleweng dari dasar agama
akan mempercepatkan keruntuhan sesebuah tamadun. Berbeza dengan Islam sebagai
din yang dipelihara oleh Allah melalui cara yang dapat dikaji mahupun tidak.
Penjagaan dari Allah SWT menjadikan Tamadun Islam mampu bertahan lama sehingga
kini. Hanya, pada masa kini umat Islam kurang menghayati konsep Tamadun Islam
sehingga mereka leka dengan kepalsuan Tamadun Barat yang hanya menumpukan
kepada kemegahan dunia tanpa menggabungkan dengan kebahagian akhirat. Umat
Islam hari ini dibelenggu pelbagai masalah, kurang menghayati agama,
ketinggalan dalam menguasai ilmu dan teknologi hari ini. Kesungguhan menghayati
Islam, berdisiplin tinggi serta menguasai pelbagai ilmu khususnya sains dan
teknologi boleh memberi kekuatan kepada umat Islam untuk menandingi Tamadun
Barat hari ini.
1.4.4 Sumber Tamadun Islam
Sumber Tamadun Islam terbahagi dua, iaitu sumber
wahyu dan sumber sekunder. Sumber wahyu terkandung dalam al-Qur’an dan
al-Sunnah.
->>Al-Qur’an.
Al-Qur’an mrupakan mukjizat yang diwahyukan oleh
Allah SWT melalui Jibril AS kepada Nabi Muhammad SAW dan membacanya dikira
sebagai ibadah. Al-Qur’an mengandungi keseluruhan ajaran Islam yang merangkumi
konsep ketuhanan, sistem perundangan, alam ghaib, nilai moral, fakta-fakta
sains, sejarah dan lain-lain lagi. Al-Qur’an sebagai mukjizat tetap terpelihara
daripada sebarang bentuk usaha penyelewengan dan penambahan.
Al-Qur’an sebagai sumber yang dapat disaksikan
hingga ke hari ini sentiasa menyeru umat Islam melakukan kebaikan dan menjauhi
kejahatan serta membangunkan alam untuk kebaikan bersama. Selain itu, al-Qur’an
menekankan aspek keadilan dan segala prinsip-prinsip sosial. Ahmad Shalaby
(1997:95) menegaskan, al-Qur’an al-Karim mengandungi asas-asas yang kukuh dan
sistem yang teguh bagi pendirian agama, tamadun dan dunia. Beliau menegaskan:
“Andainya kita dapat mentafsirkan asas-asas ini
dengan sebaiknya nescaya terbentuklah suatu sistem yang sempurna dan sesuai
untuk manusia seluruhnya di pelbagai zaman dan tempat”.
->>Al-Sunnah.
Selain al-Qur’an, sumber kedua yang menjadi sumber
Tamadun Islam ialah sunnah atau hadis Nabi Muhammad SAW. Al-Sunnah ialah segala
yang disandarkan kepada Rasulullah SAW sama ada perkataan, perbuatan dan
pengakuan serta sifat atau akhlak dan riwayat hidup baginda sebelum dan sesudah
dilantik menjadi Rasul.
Sumber ini diterima sebagai sumber yang benar dan
berautoriti dalam Tamadun Islam. Sunnah bukan sekadar bertindak sebagai
penafsir dan pengulas yang paling sahih walaupun kesahihannya mengambil tempat
kedua selepas al-Qu’ran, malah dari sudut lain, adalah tidak mungkin untuk
melihat agama Islam sebagai sesuatu yang sempurna tanpa bantuan dan penjelasan
al-Sunnah. Walau bagaimanapun, haruslah diingat bahawa sunnah yang diterima sebagai
sumber autoriti ini hanyalah sunnah yang sahih sahaja. Sunnah dalam bentuk ini
sahaja yang boleh diterima pakai sebagai sumber, sementara Sunnah yang
sebaliknya tidak diterima. (Azhar 2000:103) Untuk mempastikan Sunnah yang sahih
dan sebaliknya, para ulama hadith telah berjaya membentuk satu ilmu khusus yang
dikenali dengan ilmu Mustalah al-Hadith. Hadis atau Sunnah menjadi sumber
penting kerana ia bukan sahaja menggambarkan keseluruhan agama Islam, namun
turut memaparkan secara jelas kandungan al-Qur’an yang menjadi pegangan orang
Islam.
->>Sumber-sumber sekunder
Selain daripada al-Qur’an dan al-Sunnah, terdapat
sumber lain yang berperanan sebagai pengukuh kepada penjanaan Tamadun Islam.
Antaranya ialah ijtihad, ijmak ulama’, al-Qias, Masalih al-Musalah dan
al-Istihsan. Kesemua sumber ini dihasilkan oleh pemikir Islam yang berusaha
mencernakan Islam dalam kehidupan seharian umat Islam yang semakin kompleks.
Pemikiran intelek dan ulama Islam yang melahirkan pelbagai kaedah Islam tetap
berdasarkan firman Allah dalam al-Qur’an dan hadith Nabi SAW.
Terdapat banyak ayat-ayat al-Qur’an dan al-Hadis
yang mendorong manusia belajar dan menggunakan akalnya atau memperkembangkan
semangat intelektualisma. Contohnya, ialah ayat-ayat yang disudahi dengan
ungkapan yang bermaksud ‘Apakah kamu tidak menggunakan akal’, ‘Apakah kamu
tidak berfikir’ dan lain-lain lagi. Ayat-ayat ini mengandungi maksud supaya
umat Islam menggunakan akal untuk memerhati dan mempelajari alam sekeliling. Di
samping itu, terdapat juga mekanisma lain yang kewujudannya merupakan
manifestasi kepada sumber-sumber ini seperti pembentukan pentadbiran yang
berkesan selari dengan ajaran Islam, monumen-monumen indah yang melambangkan
keagongan Islam dan ketinggian ilmu-ilmu Islam sehingga menjadi rujukan kepada
pembinaan tamadun lain. Tidak dinafikan juga keindahan seni Islam seperti seni
kaligrafi, seni bunyi, seni tampak dan sebagainya turut menarik perhatian dan
minat masyarakat dunia.
->>Tamadun lain
Islam bersifat terbuka kepada semua tamadun dan tidak
menolak segala kebaikan yang dihasilkan oleh tamadun-tamadun lain. Elemen ini
membolehkan Tamadun Islam berkembang tanpa sempadan masa dan geografi serta
bertoleransi terhadap agama dan budaya lain. Tamadun Islam telah berkembang ke
luar dari Semananjung Tanah Arab sampai ke Eropah, Alam Melayu dan Tanah Besar
Cina. Ketamadunan yang telah dicapai oleh bangsa-bangsa di luar Semenanjung
Tanah Arab ini tetap dipelihara oleh Tamadun Islam, bahkan diperkembangkan lagi
melalui aktiviti penterjemahan, penyelidikan dan penambahbaikan dengan
memasukkan unsur-unsur Islam. Sebagai contohnya, ilmu astronomi, aljebra dan
perubatan daripada tamadun Yunani, Cina dan India disesuaikan dengan ajaran
Islam dan telah dikembangkan oleh para sarjana muslim.
Ringkasnya, semua bentuk pembangunan atau kemajuan
dalam sesebuah masyarakat yang berteras Tamadun Islam hendaklah dibentuk dalam
acuan sumber-sumber tersebut.
1.4.5 Ciri-Ciri Khusus Tamadun Islam
Ciri-ciri tamadun yang dikemukakan oleh para
sarjana Barat seperti wujudnya penempatan, kemunculan kota atau bandar,
peningkatan kualiti hidup, wujudnya organisasi, bahasa dan penggunaan tulisan
dan adanya daya reka cipta, turut terkandung dalam masyarakat Islam yang
menjadi penunjang Tamadun Islam. Bahkan ciri-ciri Tamadun Islam lebih luas
daripada yang dinyatakan. Namun ciri-ciri khusus Tamadun Islam tersebut jarang
diketengahkan. Ciri-ciri khusus Tamadun Islam yang akan dipaparkan di bawah
menggambarkan keistimewaan dan nilai tersendiri dan nilai sebenar Tamadun
Islam. Ciri-ciri ini menjadi penentu sebab Tamadun Islam diterima oleh semua
bangsa yang ada di dunia, walaupun pada asalnya Tamadun Islam bermula pada
bangsa Arab. Tamadun Islam diterima oleh masyarakat India sehingga melahirkan
era Kesultanan Delhi di India yang berjaya dimantapkan oleh oleh Dinasti Babur
sehingga terbinanya Taj Mahal yang menjadi mercu tanda Islam di India. Tamadun
Islam diterima oleh masyarakat Cina pada zaman Dinasti Ming. Tamadun Islam
diterima oleh masayrakat Melayu di pelbagai pulau dan daratannya. Tamadun Islam
diterima oleh masayrakat Eropah seperti di Sepanyol sahingga terbinanya Istana
al-Hamra’ di Granada. Ringkasnya, kebanyakan bangsa di dunia boleh menerima
Tamadun Islam kerana ciri-ciri khusus ini. Ciri-ciri tersebut adalah seperti
berikut:
->>Rabbani
Ciri rabbani menunjukkan Tamadun Islam di dasari
oleh nilai-nilai ketuhanan dan keagamaan. Menerusi ciri ini, umat Islam sedar
hakikat keberadaannya di dunia ini adalah sebagai khalifah Allah yang
diamanahkan untuk membangunkan setiap wilayah yang diduduki. Sumber, matlamat
dan tujuan kehidupan manusia berteraskan ketetapan Allah SWT yang terkandung
dalam al-Qur’an. Selain itu, ciri ini juga menjadikan umat Islam sedar bahawa
tujuan penciptaan manusia adalah untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba
Allah SWT. Perhubungan manusia dengan Allah SWT merupakan matlamat tertinggi
dalam Tamadun Islam. Sementara perhubungan manusia sesama manusia dan alam
lainnya adalah pelengkap hubungan dengan Maha Pencipta. (lihat surah al-Taubah:
24, al-Zukhruf: 59) Ciri ini juga menjadi bukti semua bangsa adalah sama dalam
masyarakat Islam. Pembezanya hanyalah iman dan takwa, bukan warna kulit,
pangkat, keturunan dan kekayaan. Oleh itu, ciri ini merupakan tunggak utama
Tamadun Islam dan asas perbezaan Tamadun Islam dengan tamadun lain.
->>Keseimbangan dan kesederhanaan.
Kesimbangan bermaksud seimbang antara dua keadaan
yang bertentangan. Konsep keseimbangan dalam Tamadun Islam merangkumi
kerohanian (spiritual) dan kebendaan (material), tanggungjawab ibadat kepada
Allah dan urusan kehidupan dunia, kepentingan individu dengan masyarakat dan
keseimbangan nilai spiritual dengan material.
->>Universal
Tamadun Islam tidak terikat kepada bangsa tertentu,
tempat dan tempoh tertentu, bahkan Tamadun Islam milik seluruh manusia yang
berpegang kepada Din al-Islam. Ini bermakna Tamadun Islam sesuai dengan segala
bangsa dan situasi. Ia juga menepati keperluan dan peredaran zaman. Tamadun
Islam berpegang kepada konsep ummah dan tidak disandarkan kepada sesuatu bangsa
atau kawasan tertentu. Dengan ciri ini terbukalah ruang kepada semua bangsa di
dunia untuk membentuk masyarakat Islam dan membina tamadun sejagat.
->>Ideal dan realistik
Islam sentiasa meletakkan manusia di tingkat
kesempurnaan yang paling tinggi dan dapat dicapai dengan memberi landasan kukuh
kepada seluruh kegiatan agar tidak bercanggah dengan ajaran Allah SWT. Ciri
realistik mengambil kira kehidupan manusia di alam sejagat dengan kepercayaan
bahawa alam sejagat merupakan suatu hakikat yang berlaku di dunia nyata. Dunia
nyata adalah antara bukti kewujudan Allah SWT yang Maha Pencipta.
->>Tetap dan anjal
Tamadun Islam mempunyai prinsip yang tetap dan
tidak berubah pada sasaran dan matlamat pembinaan tamadun, tetapi anjal dari
sudut cara dan teknik pelaksanaanya. Islam memberi kebebasan dari sudut
merealisasikan tamadun pada setiap bangsa yang berbeza dengan mengambil kira
matlamat yang harus di capai, bukan kemajuan dari sudut kebendaan semata-mata.
->>Menyeluruh
Islam mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia
termasuk aspek akidah, syariat (undang-undang) dan akhlak. Demikian juga
hubungan manusia dengan Allah SWT, hubungan sesama manusia dan hubungan manusia
dengan alam. Ia juga merupakan satu seruan keadilan untuk semua manusia, sama
ada Islam atau bukan Islam, musuh atau lawan dan mempunyai hubungan keluarga
ataupun tidak. Dari aspek kehakiman, Tamadun Islam telah terbukti dapat
mengembalikan hak kepada yang empunya, sebagaimana yang berlaku dalam sejarah
Islam. Tamadun Islam juga menyentuh aspek kenegaraan yang meliputi hubungan
dalam negara mahupun antarabangsa.
1.4.6 Matlamat Tamadun Islam
Para sarjana Tamadun Islam telah merumuskan
matlamat Tamadun Islam seperti berikut :
->>Menjaga hubungan baik antara makhluk
dengan Khaliq
Penjagaan hubungan baik dalam Tamadun Islam
terbentuk melalui keimanan yang mantap, akidah yang lurus dan pengabdian kepada
Allah SWT semata-mata seperti yang terkandung dalam konsep tauhid rububiyyah
dan tauhid uluhiyyah. Hubungan dengan Allah merupakan hubungan ubudiyyah dan
sama sekali tidak menyamai dengan sebarang hubungan lain.
Menjaga hubungan dengan Allah merupakan matlamat
terakhir dan kemuncak hubungan-hubungan yang lain. Pada hakikatnya, hubungan
dengan manusia dan alam lainnya akan kembali kepada perhubungan yang kudus
dengan Pencipta Alam, iaitu Allah SWT seperti yang dapat difaham pada surah
at-Taubah:24. (Amir A.Rahman,1991:4).
->>Menjaga hubungan baik sesama manusia.
Manusia tidak dapat hidup bersendirian, lebih-lebih
lagi dalam membina tamadun dan kemajuan. Justeru itu Islam menggariskan
peraturan dalam membina hubungan tersebut dengan menghayati segala sifat
terpuji dan menjauhi sifat tercela. .Sifat yang dituntut oleh Islam antaranya
saling membantu pada perkara takwa dan kebaikan dan tidak membantu pada perkara
dosa dan keburukan seperti yang terakam pada surah al-Maidah: 2. Selain itu,
Tamadun Islam menjaga kesejahteraan sesama manusia dengan mengharamkan tuduh menuduh,
mengumpat, mengeji, mencuri dan lain-lain. Masyarakat Islam ialah masyarakat
yang universal. Ia terbuka kepada seluruh umat manusia. Sifat universal ini
memerlukan wujudnya masyarakat yang saling berkomunikasi dengan baik dan
berdisiplin seperti pada surah surah al-Hujurat:13.
->>Menjaga hubungan antara makhluk dan alam
Dalam membina tamadun, Islam membentuk manusia
supaya menjaga hubungan yang baik dengan makhluk lain. Sebagai contohnya, Islam
mengharamkan pembunuhan binatang tanpa sebab yang diharuskan atau membunuh
haiwan dengan cara yang zalim dan kejam. Antara penentuan garisan yang telah
ditentukan oleh al-Qur’an sebagai sumber utama Tamadun Islam dalam menjalin
hubungan harmoni antara makhluk dengan alam dapat dilihat pada firman Allah
seperti berikut:
a) Hubungan dengan binatang, surah Yasin:72,
b) Hubungan dengan tumbuh-tumbuhan, surah
an-Nahl:10 -11.
c) Hubungan dengan laut, surah an-Nahl:14.
d) Hubungan dengan cakerawala, surah Ibrahim: 32 -
33.
Terdapat hampir 500 ayat al-Qur’an yang menyentuh
persoalan alam sekitar dan tanggungjawab mengurusnya. Demikian juga Sunnah
Rasulullah SAW banyak memberi petunjuk yang menekankan kepentingan memulihara
alam sekitar (Mohd Zuhdi, 2002:127) .
->>Menjaga kewarasan akal
Akal merupakan anugerah Allah SWT kepada manusia.
Keistimewaan manusia berbanding makhluk lain terletak pada akal yang sempurna
dan waras. Dalam membina kemajuan dan peradaban, akal yang waras mestilah
dijaga dan diarahkan untuk tujuan yang murni dan baik, bukan untuk membawa
kemusnahan kepada diri sendiri dan manusia lain. Justeru itu, Islam
mengharamkan segala perbuatan merosakkan akal seperti mengambil minuman yang
memabukkan, penagihan dadah dan seumpamanya seperti yang terakam dalam surah
al-Maidah: 32.
->>Menjaga diri dan nyawa
Nyawa merupakan kurnia Allah SWT untuk memberi
peluang dan bekalan kepada manusia mengabdikan diri kepada-Nya. Lantaran itu,
dalam membina tamadun dan kemajuan, ajaran Islam menekankan penjagaan nyawa
manusia. Justeru jiwa dan nyawa manusia milik mutlak Allah SWT, sedangkan
manusia adalah pemilik secara nisbi sahaja, maka mereka mestilah memelihara
nyawa sendiri dan orang lain. Penekanan ini menyebabkan Islam mengharam
membunuh diri dan melakukan pembunuhan kepada orang lain seperti dalam surah
an-Nisa’:29. Sehubungan itu, dalam membina kemajuan dan peradaban, Islam juga
mengharamkan tujuan kemajuan adalah untuk kemusnahan seperti pembinaan senjata
nuklear dan kimia untuk membunuh orang lain atau membawa kehancuran.
->>Menjaga zuriat dan keturunan
Islam mengambil berat aspek penerusan zuriat dan
keturunan dengan menekankan perkembangan keturunan yang baik selaras dengan
kemajuan. Keturunan yang baik mestilah melalui perkahwinan. Sehubungan itu,
Islam mengharamkan segala bentuk pergaulan bebas dan perbuatan zina. Islam juga
mensyariatkan undang-undang yang tegas bagi kesalahan zina. Syariat ini
bertujuan untuk memastikan zuriat dan keturunan manusia terpelihara sesuai
dengan kemuliaan manusia sebagai khalifah Allah seperti yang dapat difaham pada
surah al-Isra’:31 dan surah an-Nur:2.
->>Menjaga keselamatan harta
Islam tidak menegah pengumpulan harta dan usaha
untuk mencari kekayaan. Namun Islam menekankan matlamat dan usaha tersebut
mestilah selari dengan kehendak Islam, seperti mencari hasil yang halal dan
membelanjakan harta untuk tujuan yang baik dan diharuskan oleh syarak. Dalam
membina tamadun, Islam menekankan keselamatan harta. Justeru itu, Islam tidak
membenarkan sebarang bentuk penindasan dan pencerobohan terhadap harta orang
lain seperti mencuri, merompak atau urus niaga yang berasaskan riba seperti
yang dapat dilihat pada surah al-Qashash:77 dan surah al-Maidah:38.
Oleh itu, selain bermatlamat menjaga hubungan
manusia dengan Pencipta, sesama manusia dan alam sekitar, Tamadun Islam juga
bermatlamat menjamin keselamatan nyawa, akal, tubuh badan, harta dan keturunan.
Semua objektif ini hanyalah untuk memperoleh keredaan Allah SWT dan kebahagiaan
hidup di dunia dan di akhirat.
Daripada perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan
bahawa konsep tamadun menurut perspektif Islam ialah paduan antara pembangunan
material dan spiritual atau antara kebendaan dan kerohanian dan antara memenuhi
tuntutan fitrah manusia yang bersifat jasad dan roh. Inilah yang melayakkan
Tamadun Islam menjadi tamadun yang universal. Selain itu, kita akan dapat
melihat perbezaan yang ketara antara Tamadun Islam dengan tamadun-tamadun lain
seperti Tamadun Barat. Tamadun Barat lebih menonjolkan aspek pencapaian
kebendaan atau material sebagai ukuran bagi menentukan sesebuah masyarakat itu
bertamadun atau sebaliknya, manakala Tamadun Islam mengimbangi antara
pembangunan material dan spiritual. Kesyumulan Tamadun Islam diinspirasikan
dari sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Bukanlah kebaikan kepada kamu orang-orang yang
meninggalkan kepentingan duniawi untuk akhirat. Dan tidak ada kebaikan bagi
kamu orang-orang yang meninggalkan kepentingan akhirat untuk dunia, akan tetapi
paling baik bagi kamu yang mengambil dari ini dan ini” (kedua-duanya secara
sepadu).
(Riwayat Bukhari)
Kesepaduan dalam Tamadun Islam berlaku tanpa
pengabaian mana-mana aspek, jika berlaku pengabaian akan membawa kepada
kepincangan dan kecacatan. Malah pada pandangan Islam ia tidak memenuhi maksud
Tamadun Islam yang sebenarnya.
1.5 KONSEP TAMADUN BARAT
Tamadun Barat diasaskan kepada pemikiran yang
bersumberkan Tamadun Greek Yunani dan Rom purba yang muncul pada tahun 2000
S.M. Kedua-dua tamadun ia banyak memberi inspirasi kepada kemunculan dan
kekuatan Tamadun Barat. Ini menjadikan Tamadun Barat tegak atas landasan
idealisme sekular yang mementingkan pemikiran logik sebagaimana Tamadun Yunani
yang lebih menekankan keagungan manusia dari faktor ketuhanan.
Pemikir dan golongan intelektual Yunani telah
mencorakkan masyarakat Yunani ke arah pemisahan agama dari kehidupan keduniaan.
Tokoh utama dalam zaman ini adalah Socrates, Plato dan Aristotale. Socrates
dalam dialognya telah menegaskan bahawa “pada hakikatnya tidak ada nilai moral
dan spiritual yang mutlak”. Oleh itu, manusia hendaklah bergembira sepenuhnya
dalam kehidupan dunia. Inilah matlamat utama kehidupan manusia, iaitu
keseronokan pancaindera dan memenuhi runtunan hawa nafsu dan syahwat
kehaiwanan. Mereka bergantung sepenuhnya kepada pemikiran akal tanpa merujuk
atau dibantu oleh ajaran ketuhanan. Sehubungan ini, Abu Hassan Ali an-Nadawi
(1984) telah menjelaskan ciri-ciri khusus Tamadun Yunani seperti berikut:
i. Percaya kepada apa sahaja yang dapat dicapai
oleh panca indera.
ii. Kurang rasa keagamaan dan kecintaan melampau
kepada kehidupan dunia.
iii. Fanatisme kebangsaan yang melampau.
Oleh itu, pemikiran dan keinginan manusia menjadi
sumber, rujukan dan matlamat utama dalam pembangunan dan pembinaan tamadun
Barat. Idealisme sekular merupakan tema yang dominan dalam Tamadun Barat.
1.5.1 Sejarah Tamadun Barat
Kemunculan Tamadun Barat bermula dengan kebangkitan
masyarakat Eropah yang tidak senang dengan pemerintahan golongan gereja Katolik
yang menindas, mengongkong dan menzalimi rakyat yang inginkan perubahan.
Golongan gereja tidak menerima sebarang bentuk perubahan kecuali suatu idea dan
kehendak yang muncul daripada golongan gereja sendiri. Akibatnya, muncul aliran
baru dalam agama kristian iaitu Protestan. Sementara itu, para pemikir dan
pemimpin revolusi muncul dengan slogan baru yang berbunyi Give it to Ceaser
what it is and give it to God what everythings belongs to God. Penafian hak
gereja dalam seluruh sistem pemerintahan bermula apabila gereja diketepikan dan
dianggap sebagai hak peribadi dan bukan lagi hak masyarakat dan negara.
Pergerakan para pemikir bertitik tolak dari
fenomena ini yang membentuk satu corak baru dalam masyarakat Barat iaitu
kehidupan berasaskan kepada alam nyata yang ada di dunia. Corak ini termaksud
dalam istilah sekularisma. Sekularisma menjadi titik tolak kepada zaman peralihan
di barat daripada zaman gelap kepada zaman Renaissance. Zaman Renaissance yang
bererti zaman “menghidupkan kembali Tamadun Yunani” menunjukkan pembinaan
masyarakat baru Barat adalah berasaskan sejarah Tamadun Yunani yang
berlandaskan logik akal.
Pengaliran Tamadun Islam ke Eropah sejak abad ke-9
hingga abad ke-12 M menjadi faktor utama pembukaan minda masyarakat Barat yang
datang ke Sepanyol dan Pulau Sicily yang berada di bawah kekuasaan Tamadun
Islam di Eropah. Mereka datang untuk menimba ilmu pengetahuan yang dipelopori
oleh para sarjana Islam. Kesedaran yang timbul telah mencetuskan “Zaman
Peralihan” dan kemudiannya Zaman Renaissance di Barat. Zaman ini telah
menyebabkan pemikiran masyarakat terbuka luas dan secara tidak langsung
menimbulkan permusuhan terhadap gereja yang berakhir dengan kejatuhan golongan
gereja.
Gerakan Renaissance di Barat atau dikenal juga
gerakan pencerahan selepas melalui zaman kegelapan hakikatnya adalah suatu
gerakan untuk melepas diri dari unsur-unsur kerohanian dan cengkaman pihak
gereja kerana ajarannya tidak lagi mampu menangani dan menyelesaikan masalah
masyarakat, terutama dalam soal-soal hidup seharian dan perkembangan ilmu
pengetahuan termasuk penyelidikan sains dan teknologi. Akhirnya lahir fahaman
sekular yang memisahkan urusan kehidupan harian dengan persoalan agama. Asas
masyarakat baru ini adalah pemikiran materialistik, rasionalistik dan fizikal
masyarakat Yunani dan Romawi purba.
Sejurus berlakunya Renaissance, muncul Revolusi
Perindustrian di Perancis yang membangkitkan pemikiran masyarakat Barat untuk
maju dalam bidang sains dan teknologi. Penciptaan demi penciptaan telah
diterokai oleh saintis Barat. Antaranya, teknologi perindustrian, kereta,
kapalterbang, telefon dan lain-lain. Kilang-kilang yang menggerakkan
perindustrian tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Keadaan ini menyebabkan
masyarakat mula mengagungkan sains moden barat. Pengetahuan dalam sains dan
teknologi memberi jawapan kepada segala permasalahan dunia yang sebelum zaman
ini hanya disandarkan kepada gereja. Kejayaan menjawab segala masalah ini
mendorong ke arah pemikiran yang lebih ke hadapan yang akhirnya saintis Barat
berjaya mencipta roket untuk membawa angkasawan mereka menjelajah angkasa lepas
dan akhirnya mendarat di bulan.
1.5.2 Perbezaan Tamadun dan Tamadun Islam
Latarbelakang di atas membuktikan terdapat
perbezaan yang jelas antara Tamadun Barat dan Tamadun Islam yang bertitik tolak
dari perbezaan latar belakang kemunculan tamadun dan asas yang menggerakkan dua
tamadun penting dunia. Antara perbezaan tersebut adalah seperti berikut :
Tamadun Islam
Tamadun Barat
Asas:
Berasaskan tauhid yang tegak pada aqidah, syariah
dan akhlak. Aqidah ialah keyakinan kepada Allah dan lain-nya yang terangkum
dalam Rukun Iman. Syariah ialah peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah yang
meliputi segala aspek kedihupan, seperti politik, undang-undang, ekonomi,
pendidikan dan sosial. Akhlak pula ialah perlakuan yang berasaskan kepada
akhlak Rasulullah SAW.
Berasaskan logik, panca indera dan materialisme.
Logik bersumber kepada akal manusia. Pancaindera manusia yang lima memberi
maklumat kepada akal untuk ditafsirkan. Materialisma merupakan kesan pemikiran
yang berjaya menghasilkan sesuatu dalam bentuk barang atau benda.
Sumber asasi:
Mutlak kerana ia bersumber wahyu dari Allah yang
disampaikan kepada manusia pilihan lagi maksum yang akan menerima utusan-Nya,
iaitu Nabi Muhammad SAW.
Wahyu dari Allah dikenal sebagai al-Qur’an yang
kemudiannya ditulis dan dikumpulkan dalam satu naskhah. Sumber ini telah
ditafsirkan oleh Rasulullah untuk direalitikan dalam kehidupan masyarakat
manusia.
Pemikiran manusia semata-mata yang sentiasa
berubah-ubah, tanpa kepercayaan kepada agama dan kuasa ghaib
Cendikiawan dan intelektual memainkan peranan yang besar.
Ini melahirkan ramai tokoh pemikir Barat seperti Herbert Spencer, Karl Marx, C.
Darwin, Isacc Newton dan lain-lain.
Matlamat:
Keampunan dan keredaan Allah di samping kebahagiaan
dunia dan akhirat.
Keseronokan hidup dunia semata-mata dan kepuasan segelintir
manusia.
Kedudukan agama:
Islam satu cara hidup yang menyeliputi segala aspek
kehidupan.
Pembaharuan dalam Islam berlaku berdasarkan agama
dan bukan agama mengikut perubahan. Walaupun begitu Islam berprisip tetap dan
fleksibel dan tidak rigid.
Agama sebahagian daripada kebudayaan dan tertakluk
kepada kebudayaan. Kebudayaan sentiasa mengalami perubahan dan agama juga
dicorak oleh perubahan dan pembaharuan.
Konsep kemajuan:
Islam menekankan kedua-dua aspek kerohanian dan
kebendaan. Kerohanian dicapai melalui pengamalan perintah Allah sementara
kebendaan di capai melalui penggunaan akal yang berteraskan kepada Firman
Allah.
Kemajuan dalam Islam bersifat lengkap. Pembangunan
dan kemajuan adalah alat dan matlamat pembangunan dalam Islam adalah manusia.
Islam menolak konsep matlamat menghalalkan cara.
Tamadun Barat melihat perkara-perkara keduniaan
hanya kehidupan dunia semata-mata. Segala urusan tidak ada kaitan dengan agama.
Tamadun ini juga menitikberatkan aspek kebendaan
dengan mengenepikan aspek kerohanian. Oleh itu, ia mengabaikan aspek kemajuan
dari sudut kerohaniaan atau spiritual. Kemajuan berdasarkan keuntungan
semata-mata dan berpegang kepada konsep “matlamat menghalalkan cara”.
Ringkasnya, kejayaan renaissance di Eropah telah
menyebabkan berkembangnya fahaman sekular secara meluas. Masyarakat Eropah
melakukan perubahan dalam kehidupan dengan berasaskan fahaman ini. Akhirnya
fahaman ini telah mendominasi pemikiran dan kehidupan Barat. Fahaman Barat yang
berteraskan sekularisme telah melahirkan pelbagai ideologi di Barat seperti
Modenisme, Rasionalisme, Liberialisme, Kapitalisme, Pragmatisme, Kolonialisme
dan Materialisme. Ideologi ini begitu berkembang dalam pelbagai aspek kehidupan
mereka terutamanya ekonomi, politik dan sosial.
1.6 JATUH BANGUN TAMADUN DARI PERSPEKTIF ISLAM
Islam menganggap tamadun bertitik tolak dari ajaran
agama. Demikian juga kelahiran sesebuah tamadun berpunca daripada Islam sebagai
agama yang diwahyukan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW. Islam telah
memberi sinar kepada masyarakat untuk menyempurnakan tamadun yang dibina. Tidak
dinafikan semasa perutusan Rasulullah SAW, masyarakat Arab sudah mencapai
beberapa kemajuan. Justeru, kedatangan Islam telah memisahkan masyarakat Arab
daripada amalan jahiliah kepada amalan bijaksana berlandaskan Islam. Pengabaian
nilai-nilai agama, intelektual dan ketiadaan pimpinan yang berwibawa menjadi
tanda awal dan mempercepatkan keruntuhan sesebuah tamadun yang dibina, walaupun
bangunan kukuh yang didirikan masih tersergam indah. Hal ini terjadi kerana
pembangunan fizikal semata-mata yang bersifat material tidak dapat menjamin
keabadian sesebuah tamadun.
1.6.1 Keagamaan
Faktor agama yang bertunjang kepada tauhid
merupakan aspek teras dalam pembinaan Tamadun Islam. Dalam usaha membina sebuah
masyarakat bertamadun melalui penyampaian dakwah, Rasulullah S.A.W. menekankan
aspek iman, Islam dan ihsan serta mempraktikkan unsur ini dalam kehidupan
masyarakat Islam.
Sebagai pemimpin yang berwawasan dan berjiwa besar
baginda telah berjaya membina satu generasi yang memiliki iman yang kental dan
sanggup berjuang berhabis-habisan demi mempertahankan Islam. Generasi ini tidak
gentar dengan sebarang kemungkinan, hanya mengharapkan mati syahid apabila
berada di medan juang. Walaupun jumlah mereka kecil berbanding pihak lawan.
Ketinggian nilai-nilai keimanan telah memberi kesan besar pada kejayaan
pembinaan Tamadun Islam yang berpusat di kota Madinah. Kota Makkah juga dapat
dikuasai sepenuhnya dan dibersihkan dari unsur-unsur tamadun yang bercanggah
dengan Islam.
Dalam pembinaan tamadun, Islam memaparkan
kisah-kisah sejarah silam sebagai iktibar. Kesemua kisah yang diulang kembali
oleh al-Qur’an memaparkan kesan buruk dan kemusnahan tamadun akibat sesebuah
masyarakat cuba menyalahi landasan agama tauhid yang telah disampaikan kepada
mereka. Selain ini mereka juga mengingkari ajaran yang disampaikan oleh para
nabi. Sebagai contohnya, ketinggian tamadun yang didirikan oleh Firaun, kaum
‘Ad dan kaum Thamud telah mengalami kehancuran kerana keingkaran kepada Allah
Yang Maha Esa.
1.6.2 Nilai-nilai akhlak
Ketinggian nilai-nilai akhlak yang ditunjukkan oleh
Rasulullah SAW merupakan kunci kejayaan dalam pembentukan Tamadun Islam.
Prinsip dan nilai murni yang dipaparkan dalam kepimpinan Rasulullah SAW dapat
menjadi pedoman kepada generasi berikutnya untuk membina satu tamadun bangsa
yang gemilang.
Akhlak memainkan peranan yang sama penting dalam
pembinaan dan keutuhan sesebuah tamadun. Apabila nilai-nilai akhlak diabaikan,
tamadun sesuatu bangsa akan menemui kehancuran sebagaimana yang berlaku ke atas
umat Nabi Luth. Dengan penuh gaya mencabar kaum Nabi Luth, memomokkan kenabian
Nabi Luth dan memaparkan akhlak buruk yang menyalahi tabie manusia.
1.6.3 Politik dan pemerintahan
Politik dan pemerintahan turut memainkan peranan
yang penting dalam menentukan bangun jatuh sesebuah kerajaan dan ketamadunan
sesuatu bangsa. Politik yang stabil dan kepimpinan yang berwibawa akan dapat
mengekalkan sesebuah tamadun. Sebaliknya, kepincangan dan kelemahan kepimpinan
akan mempercepatkan berakhir sesebuah kerajaan yang dibina oleh tamadun
sesebuah bangsa.
Sejarah membuktikan bahawa kepimpinan yang berdaya
maju, pemerintahan yang adil dan perpaduan dalam politik telah meninggikan
tamadun sesuatu bangsa. Sebaliknya, apabila pemimpin mementingkan diri sendiri,
berfoya-foya, melakukan penyelewengan, rasuah berleluasa di kalangan para
pegawai kerajaan, keruntuhan akhlak dan moral akan melemahkan pemerintahan dan
benteng pertahanan negara mudah dimusnah.
Pembentukan Kerajaan Islam Madinah menjadi bukti
bahawa Islam dapat dipraktikkan secara menyeluruh dalam kehidupan harian.
Tamadun Islam yang dibina oleh Rasulullah S.A.W. di Madinah menjadi titik tolak
kepada pembinaan tamadun Islam seterusnya.
Para khalifah Bani Umayyah dan Bani Abbasiyyah berjaya
membina tamadun Islam dengan wujudnya pelbagai bidang kemajuan. Kemajuan yang
dapat dicapai dalam pelbagai bidang terutamanya bidang keilmuan adalah hasil
daripada usaha pemimpin yang amat berwibawa. Khalifah Harun al-Rashid dan
al-Makmun adalah antara pemerintah Abbasiyyah yang sangat menekankan aspek
keilmuan. Sumbangan mereka yang terpenting ialah pembentukan Baitul Hikmah,
yang merupakan sebuah perpustakaan besar. Kegiatan keilmuan yang aktif di
Baitul Hikmah telah menghidupkan peranan perpustakaan. Ini merupakan mutiara
yang amat bernilai dalam sejarah tamadun Islam. Demikian juga, gandingan mantap
Sultan Mansor Syah dan Bendahara Tun Perak dalam sejarah Kesultanan Melayu
Melaka telah menjadikan Melaka sebagai pusat Tamadun Islam di Asia Tenggara yang
terunggul.
Sejarah juga memaparkan bahawa keadaan politik yang
kacau bilau, kelemahan pentadbiran, pergolakan dalaman menjadi faktor
keruntuhan sesebuah kerajaan. Suasana ini dapat dilihat pada kejatuhan Kerajaan
Bani Umayah, Kesultanan Melayu Melaka, kerajaan-kerajaan Islam di Andalus dan
Kerajaan Uthmaniyah di Turki. Pergolakan dalaman dan kelemahan pemerintahan
menyebabkan tamadun yang dibina penuh gemilang menemui titik penamat.
1.6.4 Sosial
Kestabilan sosial antara individu dan masyarakat
dengan berteraskan ilmu, kemajuan dan minda yang mempunyai gagasan boleh
meningkatkan martabat bangsa dan meninggikan tamadun yang dibina. Hal inilah
yang dapat kita saksikan semasa pemerintahan awal Islam, terutamanya di zaman
Rasulullah S.A.W. Walaupun kuantiti umat Islam kecil berbanding dengan orang
bukan Islam, namun mereka mampu membina masyarakat yang berkualiti. Gambaran
masyarakat sebegini dapat dilihat pada komuniti Muhajirin dan Ansar yang
berpusat di Madinah. Pembinaan Tamadun Islam yang ditunjangi oleh sosial secara
harmoni antara dua kelompok ini mampu mengembangkan tamadun ke seluruh pelusuk
Semenanjung Tanah Arab, malah terus berkembang ke seluruh dunia timur dan
barat.
Sebaliknya, sistem sosial yang longgar kerana
kerapuhan jatidiri sehingga masyarakat dibuai dengan kelekaan kerana kemewahan
dan gemar kepada hiburan yang berlebihan dan bebas (budaya hedonistik)
mengundang keruntuhan sosial dan memberi pengaruh besar kepada keruntuhan
sesebuah tamadun.
1.6.5 Ekonomi
Faktor ekonomi juga adalah antara faktor yang
membantu mengembangkan lagi sesebuah tamadun. Sejarah membuktikan masyarakat
yang bertamadun tinggi mengamalkan ekonomi perdagangan, pertanian, penternakan
bertaraf antara bangsa, walaupun mereka bermula dari kegiatan ekonomi sara
diri.
Sebagai contoh, masyarakat Melayu pada zaman
Kesultanan Melayu Melaka berjaya membina satu pusat perdagangan bertaraf antara
bangsa di Pelabuhan Melaka. Pelabuhan ini berjaya menjadi pusat persinggahan
para pedagang Arab, India, Cina dan bangsa Eropah. Walaupun kemudiannya,
kegiatan perdagangan import eksport yang rancak di Pelabuhan Melaka telah
beralih ke Singapura setelah keutuhan Tamadun Melayu Melaka mengalami
keretakan.
1.6.6 Penguasaan bidang keilmuan
Penguasaan pelbagai bidang ilmu-ilmu dan kemunculan
sains dan teknologi memantapkan lagi pembinaan dan penerusan sesebuah tamadun.
Kelahiran para sarjana dan kepelbagain kegiatan keilmuan mendorong ke arah
pembinaan pusat-pusat intelektual. Lembaran sejarah mencatatkan Baghdad,
Andalus, Melaka dan Patani adalah antara pusat intelektual yang terkenal.
Apabila penguasaan politik sesebuah kerajaan mula
runtuh, pusat-pusat intelektual yang diwujud pada sesebuah kerajaan tidak akan
runtuh, tetapi sebaliknya ia akan berpindah ke wilayah lain yang aman. Sejajar
itu juga terbina pula kerajaan baru ditempat perletakan pusat intelaktual yang
dipindahkan. Sejarah di Alam Melayu dapat disaksikan sebagai contoh. Apabila
peranan Melaka sebagai pusat intelektual telah berakhir, maka peranan ini telah
diambil alih oleh Kerajaan Acheh Darussalam.
Demikian juga dengan penguasaan bidang sains dan
teknologi. Situasi masa kini menunjukkan bidang ini amat penting dalam
penerusan tamadun bangsa. Perkembangan dewasa kini membuktikan penguasaan Barat
terhadap tamadun dunia ialah kerana kemajuan yang tinggi dalam bidang sains dan
teknologi.
RU: 04-9882597
Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis
MALAYSIA
HP: 013-4006206
PJ: 04-9882701RU: 04-9882597
No comments:
Post a Comment